fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Foto Hiasan / Fail

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran dengan prestasi bercampur-campur pada Khamis, disokong oleh aliran peningkatan pasaran niaga hadapan getah Shanghai, kata peniaga.

Bagaimanapun, aliran peningkatan itu diimbangi oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selain penurunan harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global.

“Kalangan peniaga dilihat mula menerima data terkini dilaporkan oleh Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC),” katanya.

Harga minyak turun pada Khamis dan mengakhiri kenaikan selama tiga hari berturut-turut ketika kebimbangan berkaitan penurunannya terus ketara selepas Amerika Syarikat membuat kejutan meningkatkan simpanan minyak mentahnya.

Tindakan itu mengatasi kegelisahan membabitkan gangguan perdagangan global berikutan ketegangan yang berlaku di Timur Tengah.

Selain itu, beliau berkata berdasarkan anggaran daripada anggota ANRPC bagi November, prospek pengeluaran global bagi getah asli dalam 2023 diunjur berkembang sebanyak 3.5 peratus bagi tahun ke tahun yang berjumlah 15.145 juta tan.

“Unjuran permintaan bagi getah asli adalah lebih rendah daripada tahun sebelumnya mencecah 15.438 juta tan berdasarkan angka November oleh ANRPC selain pelarasan bagi negara bukan anggota ANRPC,” katanya.

Harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia (GMM 20) naik satu sen kepada 671.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut dua sen kepada 535.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal GMM 20 berada pada 671.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 534.0 sen sekilogram.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN