KUALA LUMPUR, 14 Februari - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi menerima dividen lebih tinggi iaitu pada kadar 6% hingga 6.3% tahun ini.
Pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, jangkaan positif itu berdasarkan prestasi KWSP pada suku ketiga 2024 adalah cemerlang.
"Di mana mereka dapat pendapatan pelaburan melebihi RM57.5 bilion berbanding RM47.8 bilion di tahun sebelumnya untuk tempoh sama, kemungkinan besar KWSP akan berupaya dan boleh mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi daripada 6%.
"Ini berasaskan kepada prestasi pelabur-pelabur di pasaran yang sama seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang juga berupaya mengisytiharkan dividen yang sangat besar berbanding dengan tahun lepas pada lebih daripada 5.7%," kata Dr Barjoyai.
Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 5.5% dan 5.4% masing-masing untuk simpanan konvensional dan simpanan shariah bagi 2023.
Kadar itu lebih tinggi berbanding 2022 dengan dividen diumumkan ketika itu bagi simpanan konvensional adalah 5.35% dan 4.75% bagi simpanan shariah.
Ia melibatkan pengagihan terkumpul RM57.81 bilion masing-masing RM50.33 bilion untuk simpanan konvensional dan RM7.48 bilion lagi untuk simpanan shariah.
KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen 2024 pada awal Mac ini.