KUALA LUMPUR, 22 Januari-Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3 peratus adalah langkah strategik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang diunjur mencapai 5.1 peratus keseluruhan tahun lalu.
Ketua penyelidikan pelaburan OB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pengekalan kadar OPR itu mampu menstabilkan kos pinjaman pada kadar yang berpatutan dan berupaya merangsang keyakinan perniagaan dan pelabur.
"Dengan mengekalkan OPR pada kadar semasa, Bank Negara dapat mengurangkan tekanan inflasi sambil mengelak pendirian dasar monetari yang terlalu ketat yang boleh menjejaskan aktiviti ekonomi.
"Dengan mengekalkan kadar OPR semasa iaitu pada 3 peratus, ini memberikan ekonomi peluang untuk menyerap sepenuhnya kesan daripada penyesuaian tersebut, sekali gus menerapkan pendekatan yang seimbang tanpa memberi tekanan yang berlebihan", katanya demikian ketika ditemui RTM.
Tambah beliau, kesan kenaikan gaji penjawat awam terhadap inflasi dilihat terkawal dengan sokongan peningkatan produktiviti.
Di peringkat global, pertimbangan tarif lebih rendah oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi kelegaan kepada pasaran.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan OPR kekal pada paras 3 peratus untuk kali ke-10 berturut-turut, sejak Mei 2023.