fb fb fb fb fb

OPR kekal 3% dijangka beri impak positif pada ringgit

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus dijangka memberi impak positif kepada nilai mata wang ringgit.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata,keputusan itu mampu menarik minat pelabur asing untuk terus melabur dalam pasaran kewangan tempatan.

"Ini kerana jika kita lihat beberapa pusat di rantau Asia ini telah pun memulakan fasa pemotongan kadar faedah seperti di Indonesia di Thailand dan Filipina.

"Kestabilan dalam OPR ini sudah pasti akan meningkatkan nilai mata wang itu di kaca mata para pelabur asing dan akan menarik minat para pelabur asing untuk datang dan membeli aset-aset kewangan seperti saham dan bon di Malaysia," katanya.

Tambah beliau, kestabilan OPR akan terus menyokong unjuran pertumbuhan ekonomi negara, yang dijangka mencapai 5.1 peratus untuk keseluruhan 2024.

Ekonomi negara dijangka kekal kukuh, didorong oleh penggunaan swasta, pasaran buruh yang kukuh dan pelaksanaan projek infrastruktur.

Serta sektor eksport dalam bidang teknologi, pembuatan, dan perkhidmatan.

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM memutuskan OPR kekal pada paras 3 peratus untuk kali ke-10 berturut-turut, sejak Mei 2023.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE