KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Pasaran minyak mentah global menunjukkan trend penurunan harga yang ketara selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengumumkan peningkatan dalam pengeluaran pada Ahad.
Kontrak niaga hadapan Brent di Intercontinental Exchange (ICE) susut kepada AS$65 setong pada Ahad, berbanding paras tertinggi AS$70 setong minggu sebelumnya.
Menurut Rystad Energy, harga ICE Brent dijangka tidak akan kekal melebihi AS$60 hingga AS$65 setong menjelang 2026, kecuali jika OPEC dan sekutunya, OPEC+, mengubah strategi atau sekatan terhadap Rusia dan Iran mengehadkan eksport mereka.
“Pasaran telah beralih daripada keadaan kekurangan bekalan kepada lebihan bekalan, dengan peningkatan pengeluaran selanjutnya oleh OPEC+ dijangka menguji tahap sokongan harga,” kata firma analisis tenaga itu.
Menjelang 2026, Rystad mengunjurkan bekalan minyak global akan meningkat sebanyak 2.5 juta tong sehari (bpd), melebihi pertumbuhan permintaan yang dianggarkan kurang daripada satu juta tong sehari.
Perkembangan itu mencerminkan momentum makroekonomi yang lemah di negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta tahap pemulihan perjalanan udara pascapandemik yang semakin mendatar.
“Ini menandakan lebihan global melebihi dua juta tong sehari pada tahun hadapan, terutamanya pada separuh pertama tahun tersebut.
“Risiko penurunan harga kini beralih ke arah sekitar AS$50 setong atau lebih rendah sekiranya paras inventori terus meningkat sepanjang separuh pertama tahun ini,” tambah laporan itu.