KUALA LUMPUR, 6 Oktober -Kementerian Perladangan dan Komoditi terus memperkukuh usaha membangunkan industri kenaf sebagai antara komoditi baharu negara yang mampu memberi pulangan ekonomi kepada penduduk luar bandar.
Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata, melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) pelbagai strategi dilaksanakan bagi memastikan industri itu kekal berdaya saing serta menarik minat penglibatan pihak swasta.
"Hingga 31 Ogos 2025, sebanyak 1,174 hektar tanaman kenaf telah diusahakan di seluruh negara, melibatkan 555 pekebun kecil dan empat usahawan. Daripada jumlah itu, 721 hektar adalah bagi pengeluaran fiber, manakala 453 hektar bagi pengeluaran makanan ternakan. Untuk tahun ini, LKTN menyasarkan keluasan tanaman kenaf sebanyak 2,500 hektar melibatkan 846 pekebun kecil, termasuk pengeluaran fiber, biji benih dan makanan," katanya di Dewan Rakyat.
Datuk Chan Foong Hin menjawab soalan Ahli Parlimen Tangga Batu Tuan Haji Bakri Jamaluddin yang meminta menyatakan status semasa industri kenaf di Malaysia khususnya daripada segi keluasan tanaman, penghasilan dan pasaran serta langkah strategik kementerian bagi memastikan kenaf menjadi komoditi berdaya saing dan memberi pulangan ekonomi kepada penduduk luar bandar.
Industri kenaf kini turut diperluas ke Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Negeri Sabah (SLDB).
Sebagai permulaan, 100 hektar kawasan tanaman berasaskan makanan ternakan akan dibangunkan di Sook, Keningau.
Selain itu, LKTN memberi tumpuan kepada lima sektor utama produk hiliran kenaf, termasuk bahan binaan, tekstil teknikal, produk biodegradasi, biokomposit dan makanan ternakan.
Prestasi pasaran juga menunjukkan perkembangan positif apabila nilai jualan produk berasaskan kenaf meningkat kepada RM23.81 juta hingga Ogos 2025, berbanding RM14.81 juta tahun lalu.
Bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta, kementerian melalui Program Ladang Kluster turut menyediakan insentif RM3,800 sehektar secara one-off bagi penanaman kenaf berskala ladang.