fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 2 Jun- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini disokong oleh aktiviti belian ketika harga rendah dan momentum positif di pasaran minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata perkembangan positif mengenai siling hutang Amerika Syarikat (AS) juga memberi sokongan meluas kepada gandum serta niaga hadapan minyak mentah, sekali gus membantu meningkatkan sentimen bagi niaga hadapan MSM.

“Pemulihan harga minyak biji sesawi Kesatuan Eropah (EU) turut menyokong momentum meningkat harga,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2023 dan Julai 2023 meningkat RM96 masing-masing kepada RM3,416 satu tan metrik dan RM3,406 satu tan metrik dan Ogos 2023 menokok RM102 kepada RM3,381 satu tan metrik.

Kontrak September 2023 naik RM94 kepada RM3,379 satu tan metrik, Oktober 2023 melonjak RM84 kepada RM3,384 satu tan metrik dan November 2023 menambah RM71 kepada RM3,388 satu tan metrik.

Jumlah dagangan merosot kepada 46,430 lot daripada 59,254 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 244,934 kontrak daripada 257,926 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan meningkat RM100 kepada RM3,450 satu tan metrik. -BERNAMA


(Niaga hadapan MSM ditutup tinggi)

Media Baharu