fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

(Foto Hiasan)

KUALA LUMPUR, 15 Mac- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, menjejaki kenaikan di pasaran minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga rendah baru-baru ini turut menarik minat belian.

"Sentimen positif menaikkan harga lebih tinggi dan kami mengesan paras sokongan pada RM3,900 dan paras halangan pada RM4,100," katanya kepada Bernama.

Harga MSM yang lebih kukuh turut disokong oleh permintaan eksport yang lebih baik.

Menurut firma penyelidik kargo Intertek Testing Services hari ini bahawa eksport produk minyak sawit Malaysia bagi 1-15 Mac meningkat 55.03 peratus kepada 751,814 tan daripada 484,950 tan yang dihantar pada bulan sebelumnya.

(Harga MSM yang lebih kukuh turut disokong
oleh permintaan eksport yang lebih baik/Foto Hiasan)

Dalam perkembangan lain, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai dalam kenyataan berkata import minyak sawit negara pada Februari merosot 30 peratus daripada Januari kepada paras terendah dalam tempoh lapan bulan berikutan permintaan yang rendah dalam persekitaran stok yang meningkat disebabkan import berlebihan pada November-Januari.

India membeli minyak sawit terutamanya dari Indonesia, Malaysia dan Thailand.

"Pengurangan import minyak sawit oleh India akan memberi tekanan kepada harga MSM," kata Ng.

Pada penutup dagangan hari ini, Mac 2023 tidak berubah pada RM4,103 satu tan, April 2023 naik RM15 kepada RM4,059 satu tan dan Mei 2023 meningkat RM35 kepada RM4,017 satu tan.

Jun 2023 menambah RM33 kepada RM3,967 satu tan, Julai 2023 naik RM29 kepada RM3,927 satu tan dan Ogos 2023 meningkat RM27 kepada RM3,896 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 61,745 lot daripada 74,942 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 229,024 kontrak daripada 241,583 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan naik RM20 kepada RM4,200 satu tan.-BERNAMA

Media Baharu