KUALA LUMPUR, 13 September- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives melantun semula untuk ditutup tinggi hari ini, sejajar dengan pemulihan niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).
Peniaga minyak sawit David Ng berkata kenaikan harga minyak mentah juga memberikan sokongan kepada MSM, dengan penanda aras harga minyak mentah Brent melepasi ambang US$92 setong hari ini.
“Kami mengesan paras sokongan untuk MSM pada RM3,600 setan metrik dan paras ketahanan pada RM3,900,” katanya.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata, bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dikekang oleh penurunan harga niaga hadapan olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dan niaga hadapan minyak biji sesawi.
“Niaga hadapan MSM menyaksikan dagangan lebih tinggi hari ini, bangkit kembali daripada momentum lemah selama beberapa hari tetapi masih kekurangan perniagaan baharu,” katanya.
Kontrak September 2023 naik RM37 kepada RM3,635 setan metrik, Oktober 2023 menambah RM59 kepada RM3,679 setan metrik, manakala November 2023 meningkat RM43 kepada RM3,726 setan metrik dan Disember 2023 menokok RM44 kepada RM3,776 setan metrik.
Kontrak Januari 2024 dan Februari bertambah RM46 masing-masing kepada RM3,826 setan metrik dan RM3,856 setan metrik.
Jumlah dagangan merosot kepada 82,326 lot daripada 90,816 lot semalam manakala kepentingan terbuka susut kepada 206,016 kontrak daripada 207,774 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal untuk September Selatan naik RM20 kepada RM3,700 setan metrik. -BERNAMA
(Niaga hadapan MSM ditutup tinggi)