fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM dijangka diniagakan tinggi minggu depan

Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan tinggi minggu depan berikutan pengukuhan niaga hadapan minyak kacang soya / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 9 November - Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan tinggi minggu depan berikutan pengukuhan niaga hadapan minyak kacang soya yang menyokong harga lebih tinggi, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh permintaan yang kukuh, justeru, harga dijangka diniagakan antara jajaran RM4,900 hingga RM5,180 setan metrik minggu depan.

Bagaimanapun, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh menjangkakan niaga hadapan MSM tidak menentu minggu depan dan mengunjurkan harga didagangkan antara RM4,500 hingga RM4,700 setan metrik.

“November adalah bulan ledakan MSM, kerana harga hampir kepada RM5,000 setiap setan metrik. Dengan harga tinggi sebegini, China, India, Pakistan, negara Asia Barat dan negara Kesatuan Eropah akan membeli apabila ada keperluan.

"Terdapat banyak stok di Malaysia dan Indonesia, tidak ada kekurangan stok minyak sawit mentah," katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 meningkat RM184 kepada RM5,160 setan metrik, Disember 2024 naik RM230 kepada RM5,144 setan metrik dan Januari 2025 menokok RM233 kepada RM4,868 setan metrik.

Sementara itu, kontrak Februari 2025 naik RM231 kepada RM5,039 setan metrik, Mac 2025 meningkat RM212 kepada RM4,938 setan metrik dan kontrak April 2025 menokok RM184 kepada RM4,637 setan metrik.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 461,460 lot daripada 316,573 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka turun kepada 239,911 kontrak daripada 246,507 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Selatan November meningkat RM180 kepada RM5,160 setan metrik pada Jumaat daripada RM4,980 pada minggu sebelumnya.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN