KUALA LUMPUR, 13 Mei - Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini berikutan dagangan berhati-hati yang berterusan menjelang data inflasi Amerika Syarikat (AS) untuk April.
Data indeks harga pengeluar AS (PPI) akan dikeluarkan esok, diikuti indeks harga pengguna (CPI) pada Rabu .
Pada penutup, kontrak bulan semerta Mei 2024 merosot kepada AS$2,349.90 setiap auns troy berbanding AS$2,380.80 yang disaksikan semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Kontrak Jun 2024, Julai 2024, Ogos 2024, Oktober 2024 dan Disember 2024 berakhir masing-masing lebih rendah pada AS$2,359.90 setiap auns troy daripada AS$2,390.80 sebelum ini.
Jumlah dagangan jatuh kepada 22 lot berbanding 72 lot yang dicatatkan pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 35 kontrak daripada 106 kontrak.
Menurut penetapan petang London Bullion Market Association pada 10 Mei, harga emas fizikal berada pada AS$2,372.45 setiap auns troy.-BERNAMA