fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka kekal berdaya tahan minggu depan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 20 April - Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal berdaya tahan minggu depan, yang mencerminkan prestasi kukuh di COMEX AS.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran kewangan sedang menilai risiko politik, biasanya membawa kepada peralihan ke arah aset-aset selamat, terutamanya berikutan konflik di Timur Tengah yang semakin meningkat.

Walaupun terdapat sedikit penyederhanaan dalam sentimen tidak mahu mengambil 'risiko', beliau menyatakan bahawa harga emas terus meningkat disebabkan ketegangan geopolitik yang berterusan.

"Ia mungkin terlalu awal untuk memberi isyarat jelas, yang menunjukkan bahawa emas harus terus mendapat sokongan," katanya kepada Bernama.

"Pada masa depan, saya menjangkakan emas akan mendapat paras sokongan sekitar US$2,375, dengan paras rintangan berkemungkinan sekitar US$2,400," tambahnya.

Sepanjang minggu lalu, niaga hadapan emas domestik kebanyakannya didagangkan lebih tinggi.

Jumlah dagangan niaga hadapan emas dalam pasaran tempatan melonjak kepada 218 lot daripada 40 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 120 kontrak daripada 44 kontrak minggu lalu.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak April 2024 susut kepada US$2,389.40 setiap auns troy daripada US$2,402.4, manakala Mei 2024 jatuh kepada US$2,405.50 daripada US$2,418.2 minggu lepas.

Kontrak Jun 2024, Julai 2024, Ogos 2024 dan Oktober 2024 semuanya ditutup lebih rendah kepada US$2,410.70 setiap auns troy berbanding US$2,423.7 pada minggu sebelumnya.

Menurut London Bullion Market Association pada 18 April, harga emas fizikal berada pada US$2,382.70 setiap auns troy. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI