fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka diniagakan tinggi minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 Mei- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan susulan aliran menurun hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat 10 tahun baru-baru ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama beliau berpendapat harga emas kekal pada paras tinggi iaitu US$2,380 hingga US$2,390 setiap auns troy berdasarkan perbezaan antara harga emas dan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun.

Beliau berkata pasaran sedang mencari petunjuk baharu daripada beberapa siri penceramah Rizab Persekutuan AS (Fed) minggu depan yang akan berkongsi pendapat mereka mengenai keadaan ekonomi.

Antara penceramah ialah Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell, Gabenor Fed Christopher Waller, Naib Pengerusi Fed AS Philip Jefferson dan Naib Pengerusi Fed AS untuk Penyeliaan Michael Barr.

Pemain pasaran turut memantau minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada 22 Mei depan.

Semasa minggu dagangan ini, niaga hadapan emas domestik kebanyakannya didagangkan lebih tinggi disebabkan oleh dolar US yang lebih lemah, hasil Perbendaharaan AS lebih rendah dan data indeks harga pengeluar AS lebih tinggi daripada jangkaan untuk bulan April.

Jumlah niaga hadapan emas dalam pasaran tempatan susut kepada 31 lot daripada 72 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka merosot kepada 64 kontrak daripada 106 kontrak seminggu sebelumnya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mei 2024 meningkat kepada US$2,389.40 setiap auns troy daripada US$2,380.80 sebelumnya.

Kontrak bagi Jun 2024, Julai 2024, Ogos 2024 dan Oktober 2024 masing-masing ditutup tinggi pada US$2,399.00 setiap troy auns berbanding US$2,390.80 setiap troy auns seminggu sebelumnya.

Harga emas fizikal adalah US$2,377.40 bagi setiap auns troy seperti yang diterbitkan oleh Persatuan Pasaran Jongkong London (LBMA) bagi penetapan pada 16 Mei.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE