fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka diniagakan dalam jajaran ketat minggu depan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 23 September- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran ketat minggu depan dengan kecenderungan menurun apabila pendirian kadar faedah tinggi bagi tempoh yang lebih panjang oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) menyediakan prospek yang lebih tidak menentu bagi komoditi emas. 

Faedah tinggi akan meningkatkan kos peluang melabur dalam aset tanpa hasil, kata seorang penganalisis. 

Pengarah urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata pasaran emas dilihat agak mengejutkan mampu bertahan dalam situasi hasil lebih tinggi. 

“Bagaimanapun, pembeli emas menjangkakan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat tahun ini ekoran penyambungan semula pembayaran balik pinjaman pelajar, mogok oleh United Auto Workers (UAW) dan kemungkinan penutupan operasi pentadbiran kerajaan. 

“Tetapi dalam persekitaran kadar tinggi, dolar yang kukuh, kenaikan emas dijangka terhad minggu depan melainkan hasil AS bergerak lebih rendah,” katanya kepada Bernama.


(Foto Fail)

Bagi minggu yang baru berakhir ini, jumlah dagangan niaga hadapan emas domestik diniagakan tinggi sebanyak 174 lot berbanding 130 pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka tidak berubah sama seperti pada Jumaat minggu sebelumnya pada 97 kontrak. 

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta September 2023 meningkat kepada US$1,929.20 setiap troy auns daripada US$1,922.90 pada minggu sebelumnya, manakala Oktober 2023 menokok kepada US$1,938.50 setiap troy auns daripada US$1,932.00.

Kontrak bagi November 2023, Disember 2023, Februari 2024 dan April 2024 semuanya ditutup tinggi pada US$1,946.50 setiap troy auns daripada US$1,940.60 setiap troy auns pada minggu sebelumnya. 

Harga emas fizikal berada pada US$1,915.0 setiap troy auns seperti yang dikeluarkan oleh London Bullion Market Association pada 21 September.- BERNAMA

Media Baharu