fb fb fb fb fb

Niaga hadapan emas dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Februari- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata peniaga akan memantau perkembangan semasa dengan teliti selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memulakan rundingan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin untuk menamatkan perang di Ukraine.

Trump juga telah mendedahkan pelan tarif timbal balik baru-baru ini.

“Peniaga emas akan mendapati diri mereka terperangkap di antara dua kuasa yang bertentangan, optimisme terhadap potensi penurunan ketegangan di Eropah Timur yang boleh mencetuskan dorongan jualan dan perkembangan mengenai rancangan tarif.

“Ia untuk memutuskan sama ada kekal pada logam paling selamat itu sebagai pelindung nilai terhadap ketidakpastian dalam dasar perdagangan global,” katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Februari 2025 melonjak kepada US$2,932.20 setiap auns troy daripada US$2,871.50 setiap auns troy pada minggu lepas, manakala kontrak Mac 2025 meningkat kepada US$2,939.30 setiap auns troy daripada US$2,882.50 setiap auns troy sebelumnya.

Kontrak April, Mei dan Jun 2025 semuanya lebih tinggi kepada US$2,946.70 setiap auns troy daripada US$2,888.10 setiap auns troy minggu lepas.

Jumlah dagangan susut kepada 231 lot daripada 238 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 104 kontrak daripada 69 kontrak pada minggu lepas.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 14 Februari, harga emas fizikal berada pada US$2,915.30 bagi setiap auns troy.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM