fb fb fb fb fb

Niaga hadapan ditutup kebanyakannya rendah

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini, menjejaki kelemahan semalaman dalam niaga hadapan minyak kacang soya yang menjadi saingannya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan Bursa Komoditi Dalian.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani memberitahu Bernama bahawa prospek makro memacu momentum penurunan minyak sayuran global sekarang ini.

Kejatuhan mendadak harga minyak masak bersubsidi Eropah serta penurunan dalam harga minyak biji sesawi Laut Hitam telah memberi tekanan kepada minyak sawit untuk mengekalkan diskaunnya agar kekal berdaya saing.

Sementara itu, Indonesia berada di landasan yang betul untuk menetapkan harga rujukan minyak sawit bagi tempoh 16-31 Mac kepada US$911.41 satu tan, meningkat daripada US$889.77 satu tan semasa tempoh 1-15 Mac dan ia akan mengekalkan levi eksport termasuk cukai eksport yang tidak berubah untuk tempoh 1-15 Mac.

Ini menjejaskan prospek eksport minyak sawit Malaysia kerana pasaran sedang mencari semakan harga rujukan yang lebih baik untuk menarik semakan semula levi dan duti eksport minyak sawit Indonesia yang lebih tinggi, jelas Anilkumar.

"Bagaimanapun, bekalan eksport minyak sawit Indonesia yang terhad sehingga akhir April akan menyokong minyak sawit Malaysia," katanya.


(Foto hiasan)

Peniaga minyak sawit David Ng berkata niaga hadapan MSM tempatan diniagakan lebih rendah hari ini selepas harga minyak kacang soya CBOT susut semalaman sebanyak 0.4 peratus.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM3,850 satu tan dan rintangan pada paras RM4,100 satu tan," katanya.

Pada penutup, kontrak baharu April 2023 menokok daripada RM24 kepada RM4,083 satu tan. Sementara itu, Mei 2023 susut RM10 kepada RM4,007 satu tan, Jun 2023 mencatatkan kerugian sebanyak RM34 kepada RM3,933 satu tan dan Julai 2023 berkurangan RM45 kepada RM3,882 satu tan.

Ogos 2023 menyaksikan kemerosotan sejumlah RM57 kepada RM3,839 satu tan dan bulan baharu September 2023 berada pada RM3,810 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 77,867 lot berbanding 61,745 lot yang direkodkan semalam, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 244,246 kontrak daripada 229,024 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan adalah lebih rendah sebanyak RM50 kepada RM4,150 satu tan.- BERNAMA

Media Baharu