fb fb fb fb fb

Multilateralisme penting, Malaysia manfaatkan platform SCO - Tengku Zafrul

Sedutan temu bual Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama media antarabangsa

KUALA LUMPUR, 8 September - Penganjuran Sidang Kemuncak Shanghai Cooperation Organisation (SCO) di Tianjin, China membuktikan kepentingan multilateralisme dalam mendepani cabaran dunia hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata acara tersebut menghimpunkan pelbagai negara untuk bekerjasama menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global, sekali gus menunjukkan keperluan setiap negara berganding bahu dan tidak bertindak secara bersendirian.

Menurut beliau, China misalnya mengamalkan pendekatan inklusif itu bukan sahaja dari segi diplomasi dan keselamatan, malah dalam bidang ekonomi, khususnya perdagangan dan pelaburan.

"Bagi saya, perkara penting ialah apabila Presiden Xi bercakap tentang tadbir urus global. Tahun ini kita menyambut 80 tahun penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga 80 tahun sejak tamatnya Perang Dunia Kedua. Banyak perkara telah berubah dengan kemunculan AI dan Revolusi Perindustrian Keempat. Sepanjang 80 tahun itu, pelbagai kemajuan telah dicapai.

"Namun pada masa yang sama kita berdepan cabaran, dan bagi Malaysia serta ASEAN, adalah penting untuk datang ke China dan berinteraksi dengan entiti perniagaan di sini," jelasnya dalam temu bualnya bersama media antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat utama China bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama baharu dalam sektor teknologi tinggi.

China juga kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dan merupakan antara pelabur asing terbesar negara.

Tiga bidang utama yang menjadi tumpuan kerjasama masa depan ialah pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), automotif termasuk kenderaan elektrik (EV), serta peralihan tenaga hijau.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE