KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berjaya meraih potensi jualan berjumlah RM182 juta baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata, ia hasil kunjungan membabitkan beberapa syarikat minyak dan lelemak dari Afrika.
Katanya, pengeluar minyak sawit Malaysia dan pengilang produk minyak sawit menghargai usaha MPOC dalam membawa ahli-ahli industri utama ke pasaran penting di Afrika.
"Melalui 112 sesi mesyuarat dengan delegasi dari tujuh negara berbeza Afrika, pembeli mahu mendapatkan produk-produk seperti minyak sawit mentah, olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD).
"Kedua-duanya dalam pek pengguna dan pukal, minyak masak, lelemak, lemak khusus, produk oleokimia dan lilin sawit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, ahli industri juga memuji variasi dalam komposisi pembeli Afrika kerana terdapat minat untuk mendapatkan kedua-dua produk secara pukal dan pek.
"Wilayah Afrika Sub-Sahara, sangat bergantung pada minyak sawit sebagai bahan mentah utama untuk industri minyak makan," tambahnya.
Ini sekali gus menyumbang 66 peratus daripada jumlah penggunaan minyak dan lemak pada 2022 membuktikan pertumbuhan yang semakin meningkat serta membuka peluang besar untuk eksport Malaysia.
Pada 2022, eksport minyak sawit Malaysia ke rantau Sub-Sahara merangkumi 14.8 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit negara, berjumlah 2.3 juta tan.
Berikutan hasil positif inisiatif itu, MPOC telah menerima permintaan tambahan daripada ahli industri untuk menjalankan program serupa di pasaran Timur Tengah, Asean dan Afrika Utara.