fb fb fb fb fb

MPC: OPR kekal pada 3.00 peratus

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek pertumbuhan dan inflasi / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 2 November - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dalam mesyuarat terakhirnya tahun ini.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek pertumbuhan dan inflasi.

BNM menjelaskan, MPC memantau rapat perkembangan semasa membabitkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

Selain memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

"Bagi ekonomi Malaysia, anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan kegiatan ekonomi bertambah baik pada suku ketiga.

"Pertumbuhan tahun depan akan didorong perbelanjaan dalam negeri, selain pertumbuhan guna tenaga dan upah berterusan yang terus menyokong perbelanjaan isi rumah," kata BNM menerusi kenyataan.

BNM berkata, langkah-langkah di bawah Belanjawan 2024 juga akan memberikan dorongan tambahan kepada kegiatan ekonomi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN