KUALA LUMPUR, 29 September – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 (SIR2035) yang menggariskan 15 strategi utama.
Ia sebagai hala tuju menyeluruh untuk menstabilkan, merombak serta mentransformasi industri keluli negara ke arah pengeluaran hijau menjelang 2050.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, strategi berkenaan merentasi tiga fasa iaitu menstabilkan pasaran, mempercepat transformasi industri, serta memastikan peralihan penuh kepada keluli hijau.
Katanya, fasa awal memberi tumpuan kepada pengurusan lebihan kapasiti, penyusunan semula pelesenan, penguatkuasaan terhadap pengeluar haram, jaminan bekalan bahan mentah domestik serta asas bagi pelaksanaan dekarbonisasi.
"Bagaimana kita pastikan industri ini membuat pelaburan jangka sederhana dan panjang untuk meningkatkan teknologi hijau, dan akhirnya, kita mahu melihat industri itu sendiri memperkukuh keupayaan mereka untuk beralih kepada pengeluaran bernilai tambah dalam sektor besi dan keluli." katanya selepas pelancaran acara tersebut di sini, hari ini.
Pada peringkat seterusnya strategi tertumpu kepada pembangunan infrastruktur pengeluaran rendah karbon, standard keluli hijau, dan pelaburan semula dalam teknologi baharu.
Selepas 2035, sasaran utama adalah untuk mencapai sektor keluli hijau sepenuhnya menjelang 2050, dengan menggembleng bakat serta modal bagi memastikan industri keluli Malaysia kekal berdaya saing, berdaya tahan, dan selaras dengan komitmen sifar bersih.
Tambahnya, SIR2035 bukan sahaja dokumen polisi tetapi juga kontrak nasional untuk masa depan yang mampan, bagi kesejahteraan dan daya tahan sosio-ekonomi.
"Malaysia turut mencadangkan ASEAN menubuhkan pangkalan data kapasiti keluli serantau, membangunkan laluan penyahkarbonan bersama, serta memperkukuh kerjasama teknologi hijau", katanya.