fb fb fb fb fb

MIHAS 2023 rekod jualan lebih RM3 bilion

Foto FB MIHAS

KUALA LUMPUR, 19 September- Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 berjaya mencatat nilai jualan RM3.11 bilion.

Jumlah tersebut 24 peratus lebih tinggi berbanding sasaran awal RM2.5 bilion.

Menerusi kenyataan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), jualan disumbang dua program utama iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) selain pameran perdagangan.

Jelas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pihaknya komited memudahkan akses pemain industri halal kepada pasaran global.

MIHAS menurutnya menyumbang kepada objektif mengantarabangsakan perusahaan mikro kecil sederhana sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal Asia.

MIHAS 2023 menarik 38,566 pengunjung dari lebih 100 negara termasuk penyertaan 9,476 orang secara maya.

Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030 menyasarkan sumbangan industri tersebut kepada ekonomi mencecah RM266 bilion menjelang 2030.


(Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)

Media Baharu