fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka rendah menjelang mesyuarat FOMC

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 20 September- Dagangan Bursa Malaysia mempamerkan aliran menurun pagi ini dengan pelabur dijangka menjauhi pasaran buat sementara menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS), kata seorang penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.25 mata kepada 1,451.41 daripada 1,457.66 penutup Selasa.

Indeks utama dibuka 5.03 mata rendah pada paras 1,452.63.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 192 berbalas 183, manakala 300 kaunter tidak berubah, 1,699 tidak diniagakan dan 11 digantung.

Jumlah dagangan 308.82 juta unit bernilai RM160.11 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan, ia menjangka Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedahnya untuk baki 2023, memandangkan inflasi AS semakin menurun.

“Walaupun prestasi lemah Wall Street boleh merebak ke pasaran tempatan, sokongan belian diunjur muncul dalam sektor terpilih kerana pasaran mungkin menumpukan pada pelan tindakan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini untuk peluang dagangan,” katanya.

Firma pembrokeran itu berkata pelabur dijangka mengalihkan tumpuan kepada sektor yang berkaitan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 seperti produk industri dan industri tenaga boleh diperbaharui.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB turun dua sen masing-masing mencatatkan RM8.89 dan RM10.12, Petronas Chemicals susut empat sen kepada RM7.26 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing menambah satu sen kepada RM4.21 dan RM5.58.

Bagi saham aktif, Iskandar Waterfront City mengembang 6.5 sen kepada 75.5 sen, Ekovest peroleh 1.5 sen kepada 57 sen manakala Tanco dan Mercury Securities turun setengah sen kepada 55 sen dan 29.5 sen dan Kinergy Advancement tidak berubah pada 34.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 29.58 mata kepada 10,736.42, Indeks FBMT 100 susut 32.81 mata menjadi 10,403.95 dan Indeks FBM Emas Syariah lemah 12.27 mata kepada 10,987.66.

Indeks FBM ACE susut 14.06 mata kepada 5,191.87 manakala Indeks FBM 70 meningkat 7.18 mata kepada 14,255.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 83.57 mata kepada 16,236.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.17 mata kepada 173.52, Indeks Perladangan menguncup 6.39 mata menjadi 6,950.28 dan Indeks Tenaga turun 1.92 mata untuk mencatatkan paras 905.85.- BERNAMA


(FOTO HIASAN)

Media Baharu