KUALA LUMPUR, 30 April- Malayan Banking Bhd (Maybank) melantik Shafiq Abdul Jabbar sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan berkuat kuasa 7 Julai, 2025.
Beliau akan menggantikan bekas CFO Kumpulan, Khalijah Ismail
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan perbankan itu menjelaskan Shafiq akan melaksanakan peranan penting dalam menyokong Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) untuk memacu penciptaan nilai dan membuat keputusan strategik.
Maybank memaklumkan Shafiq juga dijangka menerajui transformasi kewangan kumpulan ke arah keupayaan yang lebih berpandangan ke hadapan di samping memanfaatkan teknologi dan data.
Beliau akan bekerjasama rapat dengan anggota Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan untuk menumpukan kepada peningkatan nilai pemegang saham serta mendukung piawaian tadbir urus, lapor kepada dan kawalan yang tertinggi untuk memastikan pertumbuhan mampan dan impak jangka masa panjang, tambah Maybank.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata kepimpinan kewangan dan pengalaman Shafiq yang kukuh, selama lebih 25 tahun merentas pelbagai industri, akan menjadi kunci untuk menyokong strategi Maybank dalam agenda pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai.
“Kumpulan mengucapkan tahniah kepada Shafiq kerana menyertai pasukan pengurusan kami di bawah kepimpinan saya, dalam memacu Maybank ke hadapan menjadi institusi kewangan yang memberi impak positif yang terbesar,” katanya.- BERNAMA