KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas atau 0.5 peratus lagi sehingga akhir tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata pihaknya turut menyasarkan margin faedah bersih (NIM) kumpulan akan meningkat tahun ini.
"Setiap peningkatan 25 mata asas akan meningkatkan NIM kumpulan antara 1 hingga 2 mata asas. Akhir tahun ini, NIM kami akan bertambah baik kepada 2 hingga 4 mata asas," katanya dalam sidang media pengumuman prestasi kewangan Maybank bagi suku kedua, di ibu negara.
Mengenai jangkaan pertumbuhan pinjaman, Khairussaleh berkata, pihaknya menjangkakan pertumbuhan pinjamannya akan berkembang lebih lima peratus walaupun berdepan persekitaran peningkatan kadar faedah.
Katanya, meskipun pertumbuhan dijangka perlahan, namun kenaikan kadar faedah dijangka tidak akan memberi kesan ketara kepada pertumbuhan pinjaman kumpulan.
Maybank mencatat keuntungan bersih suku kedua sebanyak RM1.86 bilion.
Angka itu menyusut sedikit berbanding keuntungan tahun sebelumnya sebanyak RM1.96 bilion.