fb fb fb fb fb

MAVCOM umum pindaan kadar PSC berkuat kuasa 1 Jun 2024

Berkuat kuasa 1 Jun 2024, Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) antara RM7 hingga RM73 dikenakan kepada penumpang yang berlepas dan transfer dari Malaysia / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Mac - Berkuat kuasa 1 Jun 2024, Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) antara RM7 hingga RM73 dikenakan kepada penumpang yang berlepas dan transfer dari Malaysia.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam kenyataan pada Selasa mengumumkan kadar pindaan baharu itu berkuat kuasa bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1) hingga 31 Disember 2026.

PSC pelepasan domestik bagaimanapun kekal pada RM11 di semua lapangan terbang kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB).

MAVCOM menjelaskan tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Jun 2024 tidak akan tertakluk kepada kadar baharu itu.

Berdasarkan kadar PSC baharu, PSC Asean dan destinasi melangkau Asean telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA berserta lapangan terbang lain.

Kadar PSC semasa Asean dan destinasi melangkau Asean masing-masing pada RM35 dan RM73.

MAVCOM juga memperkenalkan PSC transfer bagi RP1, di semua lapangan terbang di Malaysia dengan kadar untuk perjalanan domestik melalui semua lapangan terbang ialah RM7, manakala kadar RM42 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 1 KLIA dan RM29 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 2 KLIA dan lapangan terbang lain.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN