fb fb fb fb fb

MATA teroka kerjasama serantau promosi Asean

Timbalan Presiden MATA, Datuk Jeffri Sulaiman

KUALA LUMPUR, 8 MEI - Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) bakal memperkukuhkan rangkaian kerjasama dengan negara serantau dalam usaha mempromosikan Asean sebagai hab pelancongan global.

Timbalan Presiden MATA, Datuk Jeffri Sulaiman berkata, persatuan itu akan memperluaskan tawaran pakej pelancongan yang merangkumi beberapa negara di rantau ini.

''Kami tidak lagi mempromosikan hanya satu negara, sebaliknya bekerjasama dengan persatuan pelancongan di Singapura dan Thailand untuk membolehkan pelancong melawat tiga negara serentak.

''Perjalanan akan bermula di Singapura, kemudian Malaysia dan berakhir di Thailand.

''Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri di tiga negara dan malah turut menguntungkan pelancong.

''MATA akan melanjutkan inisiatif pelancongan ini ke Vietnam dan juga Laos. Selepas memulakan pakej ini tahun lepas, kemasukan pelancong dari Indonesia semakin meningkat, melalui tiga negara iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand,'' katanya selepas menjadi tetamu program Biz Malaysia di RTM.

Sementara itu katanya, MATA akan terus mempromosikan Malaysia sebagai peneraju dalam pelancongan mesra muslim global pada penganjuran Ekspo Pelancongan & Perdagangan Islam Sedunia (WITEX) dan Festival Kebudayaan & Kesenian Dunia (WCAF).

Acara yang bakal diadakan pada 22 hingga 24 Ogos 2025 di Sunway Resort Hotel, menyasarkan kehadiran lebih 10,000 ribu pengunjung dan 2,000 ribu pembeli daripada kalangan ejen pelancongan di rantau ini dan seluruh dunia.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI