fb fb fb fb fb

Malaysia turun ke tangga ke-34 IMD 2024, faktor kestabilan ringgit

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Jun- Penurunan kedudukan Malaysia di tangga ke-34 dalam senarai Ranking Daya Saing Dunia (IMD) 2024 disebabkan faktor kelemahan mata wang ringgit tahun lepas.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata isu utama yang mengakibatkan kejatuhan kedudukan negara dari tangga ke-27 adalah disebabkan penggunaan data pada tahun 2023 untuk mengukur daya saing negara.

"Berdasarkan kajian awal kita, antara salah satu isunya adalah data yang digunakan IMD ini adalah berdasarkan data tahun lepas, tahun 2023 berbanding tahun 2022."

Maka, ia ketinggalan satu tahun dan salah satu impak yang paling besar adalah kestabilan mata wang ringgit kita," kata Zafrul kepada pemberita selepas merasmikan the Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution di Bursa Malaysia.

Tambahnya, kelemahan ringgit tahun lepas mempunyai pelbagai implikasi termasuk penilaian pelaburan, produktiviti dan kecekapan yang berkait rapat dengan nilai mata wang itu, seterusnya mencerminkan kebimbangan mengenai kestabilan ekonomi.

Malaysia turun tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, selepas berada di kedudukan ke-27 dalam indeks itu tahun lepas.

Di rantau Asia Pasifik, Malaysia turun empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-10 daripada 14 negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM