DILI, 31 Januari - Jalinan kerjasama strategik antara Malaysia, Timor Leste dan Australia terus diperkasa menerusi pemeteraian perjanjian kontrak bernilai USD40 juta.
Perjanjian itu dimeterai antara Weststar-GAP, iaitu kerjasama antara Weststar Aviation dan syarikat minyak Timor-Leste Petroleo (Timor GAP) bersama peneraju minyak dan gas dikenali di peringkat global, Santos Australia, Santos Limited.
Menerusi perjanjian tersebut, Weststar-GAP akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan helikopter bagi menyokong operasi syarikat Santos di wilayah Bayu-Undan di Timor-Leste.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemeteraian kontrak itu mempamerkan potensi besar syarikat Malaysia meluaskan pelaburan dan perniagaan di luar negara.
"Ini adalah perkara yang positif kerana kita melihat syarikat tempatan menembusi pasaran lain. Timor-Leste sebagai negara membangun dan salah satu jiran kita di Asia Tenggara, kita boleh menyokong ekonomi di sini di Timor-Leste dan pada masa sama, sudah tentu syarikat-syarikat ini akan berkembang ke peringkat global.
"Saya juga gembira kerana dapat menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Weststar dan Timor GAP, serta perjanjian dengan Santos Limited ini menunjukkan bahawa ia adalah bidaan terbuka dan bukannya tender secara terus. Jadi, ia mempamerkan kekuatan syarikat Malaysia seperti Weststar untuk memenangi tender utama," kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian antara Weststar-GAP Aviation LDA dan Santos Australia, di Timor-Leste.
Beliau berkata penggabungan kepakaran Weststar Aviation dalam operasi luar pesisir dan pengetahuan tempatan yang dimiliki Timor GAP mengenai pasaran negara itu membolehkan kerjasama ini membuahkan hasil.
Tengku Zafrul turut berpandangan kerjasama trilateral melibatkan Malaysia, Australia dan Timor-Leste itu menandakan fasa pertama rancangan strategik Weststar-GAP untuk memperluas sokongan penerbangan luar pesisir di rantau Asia Tenggara.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor-Leste Francisco da Costa Monteiro, Menteri Pengangkutan Miguel Marques Gonçalves Manetelu, Pengarah Urusan Kumpulan Weststar-GAP Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Timor GAP Rui Soares.
Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, Malaysia menyatakan komitmen membantu mempermudah urusan Timor-Leste untuk menyertai perjanjian ekonomi ASEAN.
Malaysia sebagai pengerusi ASEAN optimis bersama-sama dengan negara anggota ASEAN lain memastikan semua proses dan pertimbangan yang diperlukan dimuktamadkan.
Jelasnya, ASEAN menantikan kesediaan daripada Timor-Leste bagi menyertai perjanjian-perjanjian dan bersedia memberikan sokongan pembinaan kapasiti.
"Pada masa sama, saya kita juga memberi komitmen kepada kerajaan timor leste untuk memberi sokongan dalam capacity building terutamanya ekonomi untuk ASEAN untuk memberi peluang kepada timor leste untuk menjadi ahli ASEAN ke-11. Di sini kita telah buat beberapa perbincangan dengan rakan sejawat saya kerana kita akan berjumpa sekali lagi bulan Februari ini di Malaysia untuk mencari jalan memudahkan Timor-Leste untuk menjadi ahli ASEAN," katanya.