PETALING JAYA, 13 Januari – Malaysia akan menerajui tiga inisiatif transformasi utama bagi memastikan masa depan kemampanan ASEAN yang lebih jelas dan progresif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha tersebut merupakan langkah penting untuk mencapai matlamat pembangunan bersama, selain menjadikan ASEAN sebagai peneraju global dalam bidang kemampanan.
Antara inisiatif utama adalah penyahkarbonan tenaga, yang memberi tumpuan kepada peralihan kepada grid tenaga rendah karbon yang saling berhubung dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui.
"Malaysia komited untuk meneruskan inisiatif ini dengan penuh semangat dan keazaman. Keutamaan ini mencerminkan aspirasi kita bersama untuk ASEAN yang makmur, mampan, dan saling berkaitan.
"Namun, untuk mencapai matlamat ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat sivil. Ia menuntut kekuatan kolektif kita sebagai rantau yang menyokong inovasi, daya tahan, dan keterangkuman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel ASEAN Pembangunan Lestari di Universiti Sunway, di sini.
Selain penyahkarbonan tenaga, dua lagi inisiatif yang akan diterajui Malaysia adalah perlindungan biodiversiti serta meningkatkan ketersambungan ekonomi dalam rantau ASEAN.
Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh daya saing ASEAN di pentas global, sambil memastikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan lestari.
Dalam pada itu, Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia berhasrat meneroka pelaksanaan inisiatif nyah karbon yang dapat diperluas ke seluruh ASEAN, khususnya dalam bidang tenaga, sebagai usaha memperkukuh agenda kelestarian serantau.
Katanya, tumpuan utama inisiatif tersebut merangkumi bekalan tenaga, penghantaran, dan pembangunan sistem grid serantau yang saling berhubung, selain mengkaji rangka kerja kawal selia yang diperlukan.
Menurutnya, kerjasama antara negara ASEAN sangat penting bagi memastikan sumber tenaga baharu dapat dimanfaatkan secara kolektif.
"Kalau kita bergantung kepada Malaysia sahaja, mungkin sukar untuk memperoleh sumber tenaga baharu. Tetapi sebagai sebuah rantau, kita boleh menghubungkan negara-negara ASEAN kerana setiap negara mempunyai kelebihannya.
"Contohnya, Laos dan Kemboja mempunyai potensi dalam tenaga angin, sementara ada negara lain yang kaya dengan tenaga suria, solar, dan hidro," katanya.