fb fb fb fb fb

Malaysia tarik RM132.6 bilion pelaburan sektor perkhidmatan, pembuatan & utama

(PRESTASI PELABURAN MALAYSIA)

KUALA LUMPUR, 17 September- Malaysia telah menarik sejumlah RM132.6 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama, melibatkan 2,651 projek dari Januari hingga Jun tahun ini.

Ia dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Menerusi kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 52.2% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan atau RM69.3 bilion.

Manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 47.8% atau RM63.3 bilion kepada pelaburan yang diluluskan.

Lima sumber utama FDI datang dari Singapura dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM13.7 bilion, Jepun RM9.1 bilion, Belanda RM9 bilion, China RM8.4 bilion dan Kepulauan Virgin British RM7.1 bilion.

Sementara itu, lima negeri teratas yang merekodkan nilai pelaburan yang ketara kepada jumlah pelaburan yang diluluskan ialah Kuala Lumpur RM31.7 bilion, Selangor RM29.7 bilion, Kedah RM14.6 bilion, Johor RM14.2 bilion dan Sabah RM9 bilion.

Mida berkata, 2,651 projek yang diluluskan daripada pelaburan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 34.8% berbanding enam bulan pertama 2022.


(PRESTASI PELABURAN MALAYSIA)

Media Baharu