KUALA LUMPUR, 2 September - Malaysia terus memperkukuh agenda bandar pintar melalui Penarafan Bandar Pintar Malaysia sejak 2023, sebagai panduan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merancang pembangunan mampan dan berdaya saing. Sasaran ditetapkan sekurang-kurangnya 63 bandar utama mencapai tahap Smart City Early Adopter menjelang akhir 2025 ke arah merealisasikan status Negara Pintar 2040.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan & Perancangan Strategik) KPKT, Tuan Mohd Hazli Ahmad @ Adnan berkata, penarafan tersebut berasaskan piawaian antarabangsa MS ISO 37122:2019 dengan empat tahap bermula Smart City Early Adopter hingga Visionary Smart City.
“Tahap pertama kita panggil Smart City Early Adopter. Tahap kedua, Developing Smart City. Yang ketiga, Leading Smart City. Dan tahap keempat, Visionary Smart City. Jadi ini berkaitan dengan penarafan bandar pintar yang kita akan tarafkan,” katanya selepas program Tetamu Biz Malaysia di Angkasapuri.
Setakat ini, 41 PBT diiktiraf sebagai Early Adopter, manakala Putrajaya dan Johor Bahru berada pada tahap Developing Smart City. Tahun ini, sebanyak 67 PBT memohon menyertai penarafan, sekali gus membantu bandar menambah baik perkhidmatan, pengurusan sistematik dan kelestarian.
Antara projek yang sedang dilaksanakan termasuk Integrated Command Centre, Smart Traffic Light, Smart Street Light, Smart Pole, CCTV, Smart Bin, Smart Pedestrian Crosswalk dan Panic Button. Semua projek dipantau melalui National Smart City Platform (NSCP) yang mengumpulkan data bandar secara masa nyata.
Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Tahunan ASEAN Smart Cities Network ke-8 (ASCN8) pada 9 dan 10 September ini di Kuala Lumpur, yang dijangka mengangkat kepakaran negara sebagai peneraju pembangunan bandar pintar di rantau ini.
“Yang pertama berkaitan Smart City Exhibition dan juga Smart City Expert Talk. Pameran akan melibatkan 25 pempamer dari dalam dan luar negara, manakala Smart City Talk menampilkan panel dari tempatan, ASEAN, Amerika Syarikat, Jepun serta Korea Selatan,” jelasnya.