KUALA LUMPUR, 12 Mei – Malaysia terus menunjukkan komitmen tinggi dan pendekatan proaktif dalam menangani isu tarif Amerika Syarikat (AS).
Pandangan itu dinyatakan Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Madya Dr Masturah Ma’in.
“Malaysia memang sentiasa mengamalkan pendekatan secara berdiplomasi dalam menangani isu ekonomi, politik dan isu global," katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, kerajaan telah mengambil langkah strategik termasuk memulakan rundingan dua hala, memanfaatkan perjanjian Perdagangan dan Pelaburan (TIFA), serta memperkukuh kerjasama ASEAN-AS.
“Kita telah mulakan rundingan dengan Amerika Syarikat mengenai impak tarif terhadap eksport negara, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik yang menyumbang sekitar 60 peratus eksport kita ke sana,” jelasnya.
Dr Masturah memaklumkan, eksport Malaysia ke AS mencecah USD38.7 bilion setakat Januari 2025.
Sekali gus membuktikan hubungan dagangan kedua-dua negara kekal kukuh dan penting.
Cadangan tarif timbal balik AS mencetuskan kebimbangan global, namun Kuala Lumpur tampil sebagai antara negara yang bersedia menghadapi kesannya secara positif dan strategik.
Dengan sokongan diplomasi ekonomi yang matang serta kedudukan kukuh sebagai rakan dagang utama di rantau ini, Malaysia diyakini kekal menarik pelaburan, memperkukuh eksport dan memacu pertumbuhan mampan.