fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh kawal selia AI, elak risiko teknologi masa depan

Malaysia perkukuh kawal selia Kecerdasan Buatan (AI), elak risiko teknologi masa depan / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Kerajaan kini sedang membangunkan kerangka tadbir urus serta undang-undang khusus bagi memastikan pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di negara ini dilaksana secara selamat, beretika dan selaras dengan piawaian antarabangsa.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata inisiatif itu berasaskan tiga teras utama iaitu penetapan piawaian, penggubalan peraturan dan penyediaan undang-undang khusus.

1208 BZ GOBIND UNDANG UNDANG AI 2Menteri Digital, Gobind Singh Deo

“Kita memerlukan peraturan yang digubal melalui proses perundangan tertentu, dan kini ia sedang dalam proses untuk dibawa ke Parlimen. Saya berharap perkara ini dapat direalisasikan menjelang pertengahan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN AI, di Kuala Lumpur.

Tambahnya, draf awal undang-undang AI telah diterima namun memerlukan kajian lanjut sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Gobind turut memaklumkan kerajaan sedang meneliti undang-undang khusus bagi aspek tertentu teknologi itu bersama pihak industri melalui Pejabat AI Kebangsaan.

Tegasnya, AI merupakan teknologi yang bakal membawa perubahan besar kepada hala tuju negara, justeru Malaysia perlu bersedia bukan hanya dari segi penggunaan, tetapi juga memastikan nilai, etika dan keselamatan sentiasa terjamin.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN