fb fb fb fb fb

Mahu lahirkan sejuta usahawan Bumiputera seperti Khairul Aming - Ahmad Maslan

Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjadi tetamu dalam rancangan Naratif Khas bertajuk 'Kongres Ekonomi Bumiputera 2024: Bangsa Usahawan' yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Wisma Berita malam tadi/Foto FB Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Tiada yang mustahil buat golongan anak muda untuk berjaya dalam perniagaan sekiranya mereka memiliki ilmu keusahawanan, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Induk Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 berkata, ini sekali gus mampu mendorong usahawan Bumiputera mengikuti jejak langkah kejayaan pempengaruh media sosial seperti Khairul Aming.

Susulan itu, beliau mencadangkan agar subjek khas Keusahawanan dijadikan sebagai subjek wajib di peringkat sekolah menengah.

Dengan subjek itu menjadikan pelajar lebih mahir dalam perniagaan dan menguasai ekonomi.

"Dengan subjek itu pelajar dapat menguasai bidang tersebut termasuk konsep 5P iaitu produk, harga, tempat, promosi dan pelanggan.

"Ada 400,000 lebih lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya 49 peratus sahaja melanjutkan pelajaran ke Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) setiap tahun.

"Selepas 10 tahun kemudian ke mana hala tuju pelajar ini? Mereka (akan) berniaga secara kecil-kecilan dan (melalui) jatuh bangun (berniaga), bekerja di kilang dengan gaji yang rendah.

"Mula-mula mereka dapat gaji minimum RM1,500 tapi selepas itu beranak 9 apa akan jadi dengan gaji RM1,500, maka menjeritlah mereka kata kos sara hidup di Malaysi ini tinggi.

"Tapi apabila mereka belajar keusahawanan dalam tempoh lima tahun bermula dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, maka kita boleh lahirkan sejuta usahawan seperti Khairul Aming kerana mereka memiliki ilmu keusahawanan," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Naratif Khas bertajuk 'Kongres Ekonomi Bumiputera 2024: Bangsa Usahawan' yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Wisma Berita malam tadi.

Pada Mei tahun lalu, Ahmad Maslan pernah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau mencadangkan kurikulum sekolah menengah diubah dengan memasukkan subjek keusahawanan yang wajar dijadikan subjek bersendiri sebagaimana subjek lain untuk kurikulum Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Kerajaan juga mengumumkan peruntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera semasa majlis penutup KEB 2024 pada 29 Februari lalu.

KEB 2024 dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), bagi menetapkan hala tuju, dasar dan pendekatan baharu agenda pemerkasaan bumiputera.

GRACE AISYAH KEDAYAN