fb fb fb fb fb

Lonjakan nilai ringgit suntik rasa bangga rakyat Malaysia

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 29 September - Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ternyata memberi impak yang besar terhadap keyakinan negara, sekali gus menyuntik rasa bangga dalam kalangan rakyat.

Ringgit Malaysia, yang terus mencatatkan aliran meningkat, melonjak kepada paras tertinggi berbanding dolar AS sejak Mac 2022.

Ia bukan sahaja mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini malah menunjukkan pengukuhan paling ketara di peringkat dunia pada bulan ini susulan penurunan kadar faedah yang besar oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Perjalanan negara dalam mengatasi cabaran dan mencapai pertumbuhan pesat, disokong oleh ekonomi yang berkembang pada kadar terpantas dalam tempoh 19 bulan lepas, telah menarik perhatian global.

Tidak dapat dinafikan bahawa kestabilan politik negara di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim antara sebab utama kejayaan ekonomi Malaysia berbanding Thailand dan Indonesia, yang mengalami kegawatan politik.

Baru-baru ini, ringgit naik kepada paras tertinggi dalam tempoh 30 bulan pada 4.1815 berbanding dolar AS. Ia ditutup pada 4.1230/1280 pada Jumaat lepas.

Kini, terdapat spekulasi bahawa ringgit boleh meningkat hingga RM4 berbanding dolar AS apabila BMI, unit Kumpulan Fitch, menyemak semula unjuran ringgit untuk akhir tahun daripada 4.55 berbanding dolar AS kepada 4.0, mencerminkan prestasi mata wang tempatan yang kukuh pada suku ketiga 2024.

Selepas tempoh enam bulan, BMI turut mengunjurkan ringgit akan mengukuh sebanyak sembilan peratus pada tahun depan, mencecah 3.55 berbanding dolar AS pada akhir 2025.

Prospeknya dilihat amat baik tetapi seperti yang kita semua tahu, ringgit sangat bergantung kepada faktor luaran, terutamanya kepada trajektori kadar faedah Fed AS dan pertumbuhan ekonomi China, yang merupakan rakan dagangan terbesar kita.

Dalam jangka sederhana, akan sentiasa ada aktiviti pengambilan untung, yang akan memberi kesan kepada kadar kita, namun ia satu perkara yang biasa dan sihat untuk ekonomi.

Tahun lepas, terdapat kebimbangan ringgit akan mencecah paras serendah RM5 berbanding dolar tetapi mata wang tempatan kini melonjak lebih daripada 12 peratus berbanding dolar AS.

Minggu lepas, akhbar South China Morning Post (SCMP) melaporkan “bagi rakyat Malaysia, kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS serta mata wang serantau seperti dolar Singapura dan baht Thailand, menjadi petunjuk kepada prestasi kukuh ekonomi dan mencerminkan keyakinan terhadap kerajaan”.

Walau apapun kritikan dan keraguan yang dilemparkan terhadap Anwar kerana lewat melakukan pembaharuan dan juga berkompromi dengan kumpulan konservatif yang tidak mengundi beliau pada pilihan raya umum lepas, namun beliau berada di landasan yang betul.

Politik Malaysia kini stabil dan kerajaan Perpaduan MADANI pimpinan Anwar dijangka terus kekal bertahan. Walaupun terdapat banyak gembar gembur politik dan rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan keadaan itu, lawannya perlu menunggu selama tiga tahun lagi untuk mencabar beliau.

SCMP memetik Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, sebagai berkata, “kestabilan membantu pelaksanaan dan penggubalan dasar yang lebih efektif, meningkatkan keyakinan terhadap ringgit.

“Situasi ini telah membantu menarik penilaian dan penarafan yang lebih baik daripada agensi penarafan kredit dan bank pelaburan global.”

Perkara itu turut mendapat perhatian Reuters menerusi laporan beritanya bertajuk “Malaysia shines as foreign investors return, peers stumble.” (Malaysia menyerlah dengan kehadiran semula pelabur asing, rakan serantau hilang momentum).

Dalam artikel bertarikh 22 Ogos 2024, agensi berita itu menyatakan: “Malaysia is fast becoming a haven in Southeast Asia, and foreign investors are returning to a long-overlooked market as a confluence of improving growth, stable government and rising currency sets it apart among peers grappling with political flux.”

“Foreigners have steadily poured more money into Malaysian debt and stocks this year. In July, as political troubles brewed in Thailand and Indonesia, they pumped US$1.75 billion into Malaysian debt markets – the highest in a year.

“The stock market, Bursa Malaysia, is gunning for its strongest yearly performance in well over a decade.”

(Malaysia menjadi pasaran yang selamat dan stabil di Asia Tenggara pada kadar yang cepat dan pelabur asing kini kembali apabila pertumbuhan meningkat, kerajaan stabil dan mata wang mengukuh, telah membezakannya berbanding rakan serantau yang bergelut dengan kegawatan politik.”

“Rakyat asing secara berterusan memasukkan lebih banyak dana ke dalam hutang dan pasaran saham Malaysia pada tahun ini. Pada Julai lepas, ketika Thailand dan Indonesia dibelenggu masalah politik, mereka menyalurkan sebanyak US$1.75 bilion ke dalam pasaran hutang Malaysia – tertinggi dalam tempoh setahun.

“Pasaran saham, Bursa Malaysia kini menyasarkan untuk mencatatkan prestasi tahunan paling kukuh dalam tempoh lebih sedekad.”)

Di peringkat tempatan, ketika kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan utama kebanyakan rakyat Malaysia, kadar inflasi telah susut kepada 1.90 peratus pada Ogos daripada dua peratus pada Julai 2024.

Trading Economics melaporkan kadar inflasi dijangka pada 1.50 peratus menjelang akhir tahun ini, sebagaimana berdasarkan model makro global serta unjuran penganalisis.

Namun, apa yang lebih penting ialah jumlah pekerjaan pada suku pertama tahun ini yang meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada 8.94 juta - angka tertinggi sejak 2018, demikian menurut Statistik Guna Tenaga Jabatan Perangkaan Malaysia bagi suku pertama 2024.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang dipetik Bernama sebagai berkata sebanyak 8.81 juta jawatan dicatatkan pada suku pertama 2023.

HR Asia melaporkan pasaran pekerjaan Malaysia kekal memberangsangkan sepanjang 2024 dengan “syarikat terus mengambil khidmat pekerja seiring dengan pengembangan ekonomi.”

Rakyat Malaysia kini menunggu laporan ekonomi tahunan dan Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan depan untuk mendapatkan gambaran serta idea lebih jelas dan terperinci mengenai apa yang disediakan untuk mereka. - BERNAMA

Datuk Seri Wong Chun Wai, wartawan veteran yang pernah meraih anugerah dan berpengalaman lebih 40 tahun, ialah pengerusi Bernama.

GRACE AISYAH KEDAYAN