KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Johor dijangka akan menyaksikan pembangunan lebih banyak pusat data pada masa akan datang.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah menarik minat pelabur, menjadikan negeri itu salah satu destinasi tumpuan di peringkat global.
“Ketika ini, terdapat lebih 50 pusat data di Johor, dan saya yakin akan ada lebih banyak lagi yang ditubuhkan selepas ini.
"Saya baru sahaja berada di Johor pada hujung minggu lalu bersama Menteri Besar, dan antara perbincangan utama adalah matlamat Johor untuk membangunkan ekosistem yang menyokong sepenuhnya industri pusat data. Saya pasti akan ada lebih banyak pelaburan yang masuk ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Amazon Web Services (AWS) Cloud Day Malaysia, di sini.
Acara teknologi tersebut bertujuan untuk memperkasa perniagaan dan pemimpin industri agar dapat memanfaatkan potensi penuh teknologi awan serta kemajuan terkini dalam kecerdasan buatan.