KUALA LUMPUR, 5 Ogos -Lebih 90 peratus daripada polisi dilaraskan mengalami pelarasan premium yang kurang daripada 10 peratus dan lebih 200,000 polisi mendapat manfaat penangguhan pelarasan premium dan lebih 14,000 polisi telah diaktifkan semula setakat 30 April, 2025, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Dalam jawapan bertulis disiarkan di portal Dewan Rakyat, MoF menyatakan langkah interim telah diperkenalkan bagi mengurangkan kesan kewangan terhadap pemegang polisi pada masa ini serta memastikan perlindungan Insurans/ Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang berterusan.
Langkah interim tersebut adalah pengagihan pelarasan premium untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun; pengagihan pelarasan premium bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas; dan pengaktifan semua polisi tanpa pengunderaitan semula.
“Cabaran menangani inflasi kos perubatan adalah kompleks dan memerlukan ‘whole-of-nation approach’ (pendekatan seluruh negara). Oleh itu, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif RESET, usaha kolaboratif antara MoF, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak-pihak berkepentingan utama untuk mengawal inflasi kos perubatan serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan swasta dalam jangka masa sederhana dan panjang.
Menurut MoF, pelaksanaan inisiatif RESET dipantau oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin mengetahui sebab kerajaan lewat menangani isu premium insurans yang terlalu tinggi khususnya bagi insurans perubatan swasta semakin tidak mampu ditanggung oleh rakyat Malaysia biasa dengan sesetengah individu terpaksa membatalkan polisi mereka akibat kos terlalu tinggi.
Sementara itu, MoF turut menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta MoF menyatakan dengan komprehensif mengenai rancangan kerajaan memperkenalkan insurans based MHIT atau insurans asas di bawah strategi RESET serta penjelasan kerajaan tentang kekhuatiran masyarakat menggunakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli insurans asas tersebut.
Menurut MoF, walaupun produk asas MHIT bertujuan untuk membolehkan lebih ramai individu mendapatkan perlindungan insurans berpatutan, keputusan untuk membeli produk asas ini adalah secara sukarela dan berdasarkan pilihan individu.
“Seperti produk insurans dan takaful lain, pemegang polisi boleh membayar premium asas MHIT daripada mana-mana sumber kewangan mereka miliki,” kata MoF.
Selain itu, Kementerian Kewangan berkata penggunaan dana daripada Akaun Sejahtera Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga boleh dijadikan salah satu sumber kewangan tersedia kepada pengguna pada masa kini untuk membeli perlindungan insurans dan takaful.
“Ini selaras dengan tujuan kewujudan Akaun Sejahtera (sebelumnya Akaun 2), membolehkan ahli KWSP membuat pengeluaran bagi memenuhi keperluan kitaran hidup sebelum persaraan (contohnya perumahan, pendidikan, kesihatan, perlindungan insurans/takaful).
“Dalam erti kata lain, tiada paksaan ke atas individu untuk menggunakan Akaun Sejahtera untuk pembayaran premium produk asas MHIT sekiranya mereka mempunyai atau memilih untuk menggunakan sumber kewangan yang lain,” katanya.
Penggubalan konsep produk asas MHIT disasarkan untuk disiapkan sepenuhnya menjelang Disember 2025 dengan pelaksanaan dirancang pada akhir 2026, sementara struktur dan reka bentuk produk asas MHIT masih belum dimuktamadkan.
“Buat masa kini, sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan utama sedang giat dijalankan bagi memastikan semua pandangan berkenaan struktur produk ini diambil kira dan sejajar dengan prinsip kemampuan serta kemampanan jangka panjang produk asas MHIT,” kata MoF.
MHIT merupakan salah satu strategi utama di bawah inisiatif RESET, dirangka bagi menangani isu inflasi perubatan yang semakin mendadak.
Isu berkenaan menyumbang kepada kenaikan premium insurans dan takaful seterusnya menjejaskan daya kemampuan para pemegang polisi. - BERNAMA