fb fb fb fb fb

Lebih 106,000 pembayar cukai laksana e-Invois

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berucap pada Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2025 di Menara HASiL, Cyberjaya/RTM

CYBERJAYA, 4 November - Lebih 106,000 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), dengan jumlah transaksi melebihi 675 juta setakat ini.

Sekali gus membuktikan penerimaan yang menggalakkan terhadap inisiatif digital tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, pelaksanaan e-Invois disifatkan sebagai satu langkah penting ke arah pendigitalan sistem percukaian negara.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi turut memastikan sistem percukaian negara menjadi lebih telus, cepat dan berintegriti,” katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2025 di Menara HASiL, Cyberjaya.

Pelaksanaan e-Invois merupakan bukti komitmen berterusan HASiL dalam memperkukuh inovasi dan integriti dalam perkhidmatan awam, selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

Beliau menyifatkan inovasi dan integriti sebagai dua tonggak utama kejayaan HASiL yang perlu digerakkan seiring bagi mengekalkan kepercayaan rakyat.

Selain e-Invois, beliau berkata pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri (STS) duti setem mulai 1 Januari 2026 turut mempercepat urusan dan mengukuh keyakinan terhadap sistem percukaian.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ