KUALA LUMPUR, 20 April – Hubungan Malaysia-China dijangka memasuki era baharu kerjasama strategik menerusi lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, yang menyaksikan termeterainya 31 memorandum persefahaman (MoU) merangkumi pelbagai sektor penting.
Penganalisis Strategi Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Collins Ching Yew Keat berkata MoU tersebut bersifat inklusif dan mencakupi sektor-sektor kritikal yang memberi manfaat langsung kepada kedua-dua negara.
“Hasrat untuk memastikan pembangunan holistik ini meliputi semua aspek termasuk ekonomi, perdagangan, pendidikan, pembangunan modal insan, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan teknologi angkasa lepas.
“Lebih penting, hubungan antara masyarakat kedua-dua negara turut diberi penekanan, di samping aspek pertahanan dan keselamatan negara yang perlu diperkukuh agar sebarang insiden yang boleh menggugat kedaulatan negara tidak berulang,” katanya kepada RTM.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas perkembangan positif dalam isu hubungan serantau yang menunjukkan peranan penting Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.
Ini termasuk kesediaan pihak Beijing untuk menandatangani Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), yang dijangka memperkukuh kerjasama ekonomi serantau secara signifikan.
Selain itu, komitmen untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan Laut China Selatan turut dilihat sebagai langkah penting ke arah hubungan yang lebih konstruktif dan saling menghormati.
Collins menegaskan, adalah penting untuk memastikan segala hasil kerjasama yang dicapai sejajar dengan objektif peralihan ekonomi negara dan matlamat pembangunan serantau yang mampan serta menyeluruh.