fb fb fb fb fb

Kongsi rezeki: Bank Muamalat hargai wira tak didendang

Program 'Kongsi Rezeki Bersama Hero Tanpa Nama' dilaksanakan sebagai tanda penghargaan kepada para wira tidak didendang/Foto Bank Muamalat

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Sebanyak 100 pek makanan diagihkan kepada penerima manfaat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) sempena sambutan Hari Pekerja bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa” semalam.

Program 'Kongsi Rezeki Bersama Hero Tanpa Nama' dilaksanakan sebagai tanda penghargaan kepada para wira tidak didendang yang sentiasa komited menyumbang tenaga demi kesejahteraan komuniti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya sebagai institusi perbankan Islam penuh sentiasa aktif dalam pembangunan komuniti melalui pelbagai inisiatif kebajikan berteraskan nilai-nilai murni.

“Bank Muamalat amat menghargai jasa dan pengorbanan golongan pekerja yang sering kali tidak didendang, namun memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

"Program ini bukan sekadar sumbangan material, tetapi juga simbol solidariti dan penghargaan daripada kami kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, inisiatif digerakkan hasil sumbangan warga kerja yang menyumbangkan pelbagai barangan keperluan asas seperti makanan kering, minuman, kelengkapan kebersihan diri, dan barangan harian.

Antara penerima sumbangan ialah petugas kesihatan, anggota keselamatan, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan yang penting bagi kelangsungan harian masyarakat.

GRACE AISYAH KEDAYAN