SEREMBAN, 12 November - Hab Pelaburan Wilayah Tengah memainkan peranan penting untuk memperkukuh sektor pembuatan berimpak tinggi selaras dengan tumpuan kluster, iaitu elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, farmaseutikal serta teknologi makanan.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, keempat-empat sektor ini menjadi teras baharu pertumbuhan pelaburan yang akan memacu penciptaan peluang pekerjaan, inovasi industri, peningkatan daya saing ekonomi negeri serta negara secara keseluruhan.
“Kita bersyukur berada dalam satu koridor dan hab pelaburan baharu, yang merupakan pengiktirafan kepada negeri-negeri di kawasan tengah. Jadi dengan adanya koridor ataupun hab ini, ia dilihat memberikan kita peluang dan kelebihan untuk terus membangunkan kawasan perindustrian," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri.
Dalam pada itu Datuk Seri Aminuddin berharap kerajaan Persekutuan menyediakan ketersambungan yang lebih baik bertujuan memastikan kawasan sekitar seluas kira-kira 16,000 kilometer (km) persegi membabitkan Wilayah Tengah, yang meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, dapat dibangunkan secara selaras.
Ini sebagaimana pembangunan di Tokyo, Jepun yang meliputi kawasan seluas 14,000 km persegi, sekali gus akan mempercepat pembangunan negara memandangkan Wilayah Tengah menyumbang hampir 50 peratus kepada KDNK negara.