KUALA LUMPUR, 12 November – Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan pelantikan Kapten Nasaruddin A. Bakar sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan itu, berkuat kuasa 1 Februari 2026.
Beliau akan menggantikan Datuk Kapten Izham Ismail, Pengarah Urusan MAG, yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 31 Januari 2026 selepas lebih empat dekad berkhidmat bersama syarikat penerbangan itu.
Menurut kenyataan MAG, Kapten Nasaruddin ketika ini menjawat jawatan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines dan memiliki pengalaman lebih tiga dekad dalam operasi penerbangan, pengurusan serta peranan strategik, termasuk beberapa jawatan utama dalam kumpulan itu.
“Sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Nasaruddin bertanggungjawab memastikan pelaksanaan keutamaan strategik MAG, selaras dengan usaha kumpulan mencapai Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) dan mengukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan penerbangan terkemuka,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ahli Lembaga MAG dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata lembaga pengarah yakin kepimpinan Kapten Nasaruddin akan terus mengukuhkan kedudukan MAG dalam landskap penerbangan global yang kompetitif.
“Bagi pihak lembaga pengarah dan seluruh keluarga MAG, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Kapten Izham atas khidmat dan kepimpinan cemerlang beliau. Beliau telah menunjukkan komitmen, integriti dan dedikasi dalam membimbing MAG melalui tempoh transformasi dan pertumbuhan yang penting,” katanya.