KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Keyakinan pelabur kembali kukuh terhadap Malaysia, dipacu komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan, mempelbagaikan kerjasama, menggalakkan inovasi serta membina ekonomi yang lebih kompleks.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, usaha itu juga menjadikan Malaysia lebih teguh dan berdaya tahan seterusnya mengukuhkan kedudukan dalam indeks daya saing global.
"Kemunculan semula Malaysia dalam radar pelabur global merupakan hasil perancangan yang rapi, bukanlah satu kebetulan. Namun, kita tidak akan sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.
"Eksport kita semakin pelbagai, dengan teknologi hijau, peranti perubatan dan perkhidmatan digital berkembang pesat sebagai tonggak pertumbuhan baharu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pembukaan Sidang Kemuncak Asia 2025, Milken Institute di Singapura, hari ini.
Tambahnya, dalam landskap global yang semakin mencabar, Malaysia mengamalkan pendekatan tiga serampang menerusi reformasi perindustrian, inovasi dan kompleksiti ekonomi, serta strategi hijau.
"Semua strategi kebangsaan ini dilengkapkan dengan inisiatif rentas sempadan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang kini menjadi platform penting ASEAN untuk menyepadukan rantaian bekalan, mengukuhkan daya tahan dan mencipta peluang bernilai tinggi rentas sempadan," katanya lagi.
Berlandaskan kepengerusian ASEAN 2025, blok serantau berada di landasan tepat untuk melaksanakan sebahagian besar daripada 18 keberhasilan utama ekonomi (PED) seperti yang ditetapkan pada mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN minggu lepas.