KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dijangka mencecah rekod tertinggi tahun depan, sebanyak RM430.3 bilion, didorong perbelanjaan mengurus (OE) dan perbelanjaan pembangunan (DE) yang semakin meningkat.
Kenanga Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikan memaklumkan, OE dijangka meningkat sederhana sebanyak 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM342.3 bilion pada 2026, mencerminkan usaha kerajaan untuk mengimbangi disiplin fiskal dengan sokongan sosial.
Bagi tempoh sama, bank pelaburan itu menjangkakan DE berkembang sebanyak 2.3 peratus kepada RM88.0 bilion, sejajar komitmen kerajaan terhadap transformasi ekonomi jangka panjang, membina daya tahan dan pembangunan inklusif
"Kerajaan dijangka mengutamakan pengoptimuman perbelanjaan, memberi tumpuan kepada program yang meningkatkan daya tahan ekonomi, menambah baik perlindungan sosial, dan menyokong pertumbuhan inklusif.
"Pendekatan ini dirangka bagi meningkatkan pendapatan boleh guna, menggalakkan pekerjaan, dan mengekalkan permintaan domestik, yang menjadi aspek penting untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ketika ketidaktentuan ekonomi global," menurut nota penyelidikan tersebut hari ini.
Belanjawan 2026 juga dijangka akan memperkukuh agenda reformasi negara melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), memajukan rangka kerja Ekonomi MADANI dan membina daya tahan jangka panjang.
Kerajaan dijangka akan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 5.0 peratus sejajar dengan unjuran bank itu pada 4.2 peratus.
Kadar defisit pula diramal pada 3.7 peratus tahun depan, dengan pembaharuan cukai dan tadbir urus menjadi teras kepada kemampanan.
''Manakala pertumbuhan perolehan dijangka berkurangan kepada 3.6 peratus berikutan pendapatan berkaitan minyak yang lebih perlahan mengimbangi keuntungan daripada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta e-invois.
"Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK dijangka meningkat kepada 66.5 peratus pada 2026, menokok sedikit berbanding unjuran 66.0 peratus pada 2025 selaras dengan pengembangan ekonomi yang sederhana dan pinjaman berterusan,'' tambah nota penyelidikan itu.