fb fb fb fb fb

Keuntungan bersih FGV meningkat kepada RM276.25 juta

FGV Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM276.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Mac – FGV Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM276.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, meningkat berbanding RM101.62 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, FGV memaklumkan perolehan syarikat turut meningkat kepada RM22.16 bilion, berbanding RM19.36 bilion sebelum ini.

Peningkatan itu didorong oleh kenaikan harga purata minyak sawit mentah (MSM) kepada RM4,102 setiap tan, berbanding RM3,901 setiap tan pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, bahagian gula mencatatkan keuntungan sebanyak RM79.33 juta, satu peningkatan ketara berbanding kerugian RM23.15 juta pada tahun kewangan 2023.

Menurut FGV, keuntungan tersebut dipacu oleh peningkatan margin, harga jualan purata yang lebih tinggi, pertambahan jumlah jualan serta insentif yang diterima bagi gula pek tertentu yang dijual di pasaran domestik.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2024, FGV melaporkan keuntungan bersih RM116.21 juta, meningkat daripada RM70.44 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, sementara perolehan meningkat kepada RM5.92 bilion, berbanding RM5.36 bilion sebelum ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN