fb fb fb fb fb

Keuntungan 2026 diunjur meningkat, prospek sektor perbankan diramal positif

Foto fail

KUALA LUMPUR, 2 Disember -Keuntungan sektor perbankan dijangka meningkat pada 2026, dengan keuntungan operasi agregat diunjur berkembang 4.7 peratus manakala keuntungan bersih sekitar lima peratus.

Menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), unjuran pertumbuhan ekonomi domestik 4.5 peratus pada tahun hadapan dijangka menyokong pertumbuhan pinjaman industri sekitar lima peratus.

Bank itu menerusi nota penyelidikannya memaklumkan, margin faedah bersih (NIM) juga dijangka kekal stabil tanpa pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) selanjutnya, di samping tekanan kecairan yang semakin berkurangan.

Maybank IB menyatakan kualiti aset kekal stabil menyokong kos kredit yang rendah dengan kebanyakan bank mengekalkan peruntukan tambahan menjadi penampan untuk sebarang penyusutan dalam kualiti aset.

"Hasil dividen untuk tahun kewangan 2025 berada pada kadar yang baik, pada purata 5.5 peratus dan 5.8 peratus untuk Tahun Kewangan 2026.

Kami mengunjurkan hasil dividen melebihi lima peratus untuk kebanyakan bank pada tahun kewangan ini, kecuali Alliance Bank Malaysia Bhd (ABMB) dan Hong Leong Bank Bhd, yang dijangka sekitar 4 peratus," katanya.

Berikutan momentum makroekonomi yang lebih kukuh dan faktor-faktor yang menyokong, Maybank IB turut meningkatkan penarafannya terhadap sektor perbankan daripada neutral kepada positif.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN