fb fb fb fb fb

Akses gaji diperoleh (EWA) perlu diperluas, bantu golongan berpendapatan rendah

Presiden Persatuan ESG Malaysia, Prof. Cheah Kok Hoong

KUALA LUMPUR, 2 Disember - Perniagaan yang menggaji pekerja berpendapatan rendah, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalak mengadaptasi konsep Akses Gaji Diperoleh (EWA) bagi membantu kelangsungan hidup pekerja.

Presiden Persatuan ESG Malaysia, Prof. Cheah Kok Hoong berkata, EWA yang membolehkan pekerja mengakses sebahagian gaji sebelum hari gajian, mampu membantu golongan berpendapatan rendah untuk menampung perbelanjaan asas harian atau mingguan sekali gus meningkatkan kesejahteraan pekerja.

"Pekerja perlu menerima gaji supaya mereka dapat bekerja dengan gembira, selesa dan sepenuh hati serta menyumbang kepada PKS. Jika PKS sebagai majikan tidak mempunyai aliran tunai yang mencukupi untuk membayar gaji, pekerja tidak mampu menyumbang. Keadaan ini seterusnya mewujudkan satu kitaran yang tidak sihat," katanya kepada pemberita selepas sidang media Setlary, syarikat yang menyediakan platform EWA di sini, hari ini.

Tambah beliau, konsep EWA selari dengan agenda sosial dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), khususnya aspek kesejahteraan pekerja yang kurang diberi perhatian.

Konsep itu wajar dipromosikan secara lebih meluas terutama dalam kalangan PKS berikutan sektor tersebut menyumbang kira-kira 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadi antara tulang belakang ekonomi negara.

Dalam pada itu, Setlary mengumumkan pelaburan strategik bernilai RM100 juta bersama syarikat pembiayaan Lion X dan Holborn Capital Partners.

Pelaburan itu bertujuan mempercepatkan pengembangan Setlary ke pasaran baharu di Asia serta meningkatkan keupayaan platform kesejahteraan kewangannya.

Patform Setlary menyediakan penyelesaian nyata dan tanpa kos kepada majikan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan pekerja, seterusnya meningkatkan pengekalan kadar pekerja dan pengambilan pekerja yang lebih baik.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN