KUALA LUMPUR, 15 Mac- Malaysia perlu meneroka peluang dengan negara lain seperti Brazil, Turkiye, India dan Afrika Selatan bagi memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat pertembungan dua kuasa besar ekonomi dunia iaitu China dan Amerika Syarikat.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata usaha itu perlu bagi mengembangkan peluang perniagaan serta menarik pelaburan baharu.
"Ini akan memberikan Malaysia ruang dan peluang untuk mengembangkan perniagaan serta mendapatkan pelaburan daripada negara-negara ini. Ia juga memastikan hala tuju, misi, visi serta dasar yang telah direncanakan dapat dicapai mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya kepada RTM.
Sementara itu, dalam artikel bertajuk 'Laluan Selatan Global ke Arah Ketahanan Ekonomi' yang diterbitkan di laman web Project Syndicate semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa perang dagangan, tarif dan sekatan kini dijadikan sebagai senjata dalam meluaskan dominasi serta menjejaskan asas kerjasama antarabangsa.
Perdana Menteri menegaskan Malaysia sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa mengakui cabaran dihadapi namun kekal memperkukuh kedudukan sebagai pusat penting perdagangan, pelaburan dan inovasi teknologi.

Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad
BERITA BERKAITAN