KUALA LUMPUR, 17 November - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersama Majlis Kayu Malaysia (MTC) berjaya menjana eksport bernilai RM177.56 juta melalui Program Pencarian Sumber Antarabangsa dalam Pameran Kayu Malaysia (MWE) 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi dalam melonjakkan prestasi eksport negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri berasaskan kayu di rantau ini.
"MATRADE bersama MTC telah memudah cara 358 sesi padanan perniagaan membabitkan 50 pengeksport Malaysia dan 78 pembeli dari 27 negara. Kerjasama ini menunjukkan bagaimana usaha kolektif mampu membawa industri kayu Malaysia ke tahap baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas MATRADE, eksport kayu dan produk berasaskan kayu Malaysia, meningkat lima peratus kepada RM22.92 bilion pada 2024, seterusnya membuktikan ketahanan industri serta permintaan berterusan daripada pasaran global.
Peningkatan itu juga mencerminkan keupayaan pengeksport Malaysia mengamalkan pendekatan lestari dan berorientasikan nilai untuk memenuhi permintaan dunia.
MWE 2025 yang berlangsung dari 10 hingga 11 November itu telah menghimpunkan pembeli global, pemain industri serta inovator yang berminat menjalin kerjasama mampan dan meneroka kepakaran Malaysia dalam produk nilai tambah berasaskan kayu.
Antara yang turut mengambil bahagian termasuk dari Australia, China, Mesir, Jerman, India, Mexico, Afrika Selatan, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu.
Penyertaan ini sekali gus menunjukkan jaringan pasaran yang semakin luas dan berdaya saing untuk produk Malaysia.
"Penyertaan kukuh daripada pembeli di pasaran pertumbuhan pesat seperti Mesir, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu dan Turkiye bukan sahaja mencerminkan kejayaan usaha pemelbagaian pasaran, tetapi turut menunjukkan keyakinan dan minat yang meningkat terhadap produk kayu Malaysia yang berkualiti tinggi dan dihasilkan secara mampan." katanya lagi.
Permintaan pembeli merangkumi pelbagai produk termasuk papan lapis, kayu gergaji, acuan kayu, papan gentian ketumpatan sederhana, venir, pintu kayu, lantai kayu dan komponen perabot.