SHAH ALAM, 12 Disember - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai Nota Kerjasama strategik dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memperkukuh pelaksanaan caruman mandatori pekerja bukan warganegara, selaras dengan Belanjawan 2025.
Kerjasama itu membolehkan integrasi sistem antara KWSP dengan Imigresen, sekali gus memudahkan pengesahan status pekerja melalui perkongsian data Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Penggajian dan pas sah lain secara lebih tepat dan selamat.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, langkah itu meningkatkan kecekapan verifikasi serta mempercepat pendaftaran pekerja asing, terutama bagi pelaksanaan penuh caruman mandatori yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2025.
Setakat ini, seramai 1.3 juta pekerja asing telah mencarum melalui 60,000 majikan, namun masih ada majikan yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.
KWSP mengingatkan bahawa kegagalan mencarum boleh membawa kepada penalti serta tindakan undang-undang.
Majikan turut dinasihatkan supaya memastikan maklumat pekerja lengkap bagi mengelakkan gangguan caruman, manakala pendaftaran cap ibu jari pekerja akan dibuka mulai Januari 2026.
Kerjasama ini sebagai langkah penting bagi memastikan dasar negara dilaksanakan secara berintegriti serta memberi manfaat jangka panjang kepada majikan dan pekerja.